Menyiapkan halaman ZonKuliah…
Terima kasih menunggu sebentar.Menyiapkan halaman ZonKuliah…
Terima kasih menunggu sebentar.
Jejak Pertemuan ZonKuliah dengan Ustaz Hamanaka
Laluan utama · 1 Disember 2017 · Niihama

1 Disember 2017. Tiba di Masjid Niihama.
Beberapa bulan sebelum itu, seorang pensyarah di Malaysia menceritakan tentang seorang lelaki Jepun yang sudah agak tua, tapi masih istiqamah dan aktif berdakwah. Dia tinggal di tempat yang agak terpencil, jadi tak ramai orang Malaysia kenal. Katanya, lelaki itu bina sendiri laman web tentang Islam untuk bangsa Jepun — islamjp.com — dan bina masjid di Niihama, Ehime.
Nama itu: Akira Hamanaka.
Saya (Amir / mfamirs) nekad pergi. Misi solo 2017: bergerak seorang diri, kumpul bahan, jumpa tokoh-tokoh yang jarang disentuh. Saya tak sempat berhubung dengan Ustaz Hamanaka sebelum berangkat. Tapi keputusan sudah dibuat.
Naik kereta api, naik bas, kemudian berjalan kaki. Di luar tingkap, hujan gerimis jatuh perlahan atas padang dan bangunan rendah. Saya ambil satu gambar — tingkap berwap, titisan air — sebelum tahu apa yang menunggu di hujung perjalanan.
Masjid Niihama ada di tingkat atas ruang perniagaan Ustaz Hamanaka sendiri. Dari Matsuyama ke situ, lebih kurang sejam dengan kereta api, kemudian bas dan jalan kaki.
Sebaik tiba, Ustaz Hamanaka ada di situ — seperti biasa mengimarahkan masjid yang dibinanya. Hari itu ada juga beberapa pelajar Muslim dari universiti berdekatan: makan bersama, solat, bertukar-tukar fikiran.
Saya perkenalkan diri.
"Kamu dari mana? Untuk apa datang ke sini?" tanya Ustaz.
"Saya datang dari Malaysia. Memang bertujuan nak cari Ustaz. Alhamdulillah, rezeki saya — Ustaz ada di masjid ni!"
Sambutan yang datang melampaui jangkaan. Dijamu coklat dan makanan di masjid. Malam itu Ustaz bawa saya makan sushi di kedai berdekatan — dia guna pengaruh yang sudah lama terjalin supaya makanan yang dihidangkan kepada kami benar-benar halal.
Lepas makan, kami balik ke masjid. Ustaz tunjuk ruang solat yang terhampar permaidani merah:
"Ini tempat tidur kamu malam ni."
Saya gelar tilam di atas sejadah. Di luar, lampu kedai tingkat bawah masih menyala lewat tengah malam.
Malam itu perbualan bermula. Dan ia tak berhenti sampai hampir pukul 3 pagi.
Berkaitan dengan bab utama: Solo ke Niihama: pertemuan pertama, 1 Disember 2017
Rantaian ini bukan lurus — pilih pintu seterusnya mengikut rasa ingin tahu tuan/puan.
Peta cerita
Perjalanan solo ke Niihama membuka perbualan tentang masjid, sistem, masa dan amanah yang perlu disambung.
Klik mana-mana titik. Laluan utama membawa cerita ke depan; kisah sampingan membuka manusia dan pengorbanan di sebaliknya.